News Update :
Home » » Assalamualaikum..

Assalamualaikum..

Penulis : Datu pitung on Jul 5, 2009 | 2:22 AM


KITA sering mendengar orang menyampaikan salam, malah kita juga selalu memberi dan menjawab salam. Bahkan kadangkala disebabkan berdepan dengan kesibukan dan kesuntukan waktu, kita mengirimkan salam kepada seseorang.

Salam sudah boleh dikatakan sebagai satu budaya dalam masyarakat Islam dan ia suatu amalan yang terpuji.

Rasulullah s.a.w memberikan salam, sebagaimana diterangkan melalui hadis diriwayatkan Abu Daud, yang bermaksud: “Daripada Asma’ binti Yazid r.a melaporkan: Rasulullah s.a.w berjalan melintasi kami dalam sekumpulan wanita lalu baginda memberi salam kepada kami.”

Begitupun, menurut Zulkifly Muda dalam bukunya bertajuk Apa Kata Islam Mengenai Hubungan Sosial, ada sedikit komentar di kalangan sarjana Islam mengenai golongan yang memberi dan menjawab salam, berdasarkan ciri tertentu.

Sesetengah ulama seperti Imam Malik, Atha’, Qatadah dan lainnya melihat kepada sudut usia dengan mengatakan tindakan memberikan salam (oleh lelaki) dibolehkan kepada wanita berumur dengan alasan ia selamat daripada fitnah.

Menurutnya, pandangan yang hampir sama diberikan sebahagian ulama seperti Imam Nawawi, yang mengatakan tindakan memberikan salam dilarang kepada wanita muda atau yang sudah berumur tetapi masih diminati pada pandangan umum.

“Begitu juga sebaliknya seperti wanita muda ataupun yang sudah berumur tetapi masih diminati. Mereka tidak dibenarkan memberi salam kepada kalangan lelaki dan sekiranya salam itu diberikan oleh mana-mana pihak yang disebutkan di atas, tidak wajib dijawab.

“Pandangan ini juga melihat kepada keadaan wanita sama ada dia diminati atau tidak, tanpa mengira umur mereka.

“Ini bermakna sekiranya wanita tua yang tidak diminati pada pandangan umum dibolehkan dia memberi salam dan diberi salam.”

Ada ulama yang memberikan tumpuan kepada suasana salam, seperti Ibnu Hajar al-Asqalani, yang menerangkan, sekiranya ia dilakukan dalam suasana yang boleh membawa fitnah, salam itu diharamkan sama ada kepada wanita muda atau tua.

Sebaliknya, sekiranya ia dilakukan dalam suasana yang tidak membawa kepada fitnah, ia diharuskan tanpa mengira umur wanita.

Antara hujah yang dikemukakan ialah Nabi Muhammad memberi salam kepada wanita seperti hadis yang tertera di atas.

Perbincangan sarjana mengenai topik bersifat kemasyarakatan daripada perspektif Islam seperti ini terkandung di dalam buku terbabit yang memuatkan komentar serba ringkas, tetapi tepat dan padat, sekali gus mudah untuk difahami.

Buku nipis ini bukan saja penyampai pengetahuan yang berguna, malah menjadi satu saluran bagi menyelesaikan kekeliruan dan kekusutan bersabit hukum-hakam.

Secara tidak langsung buku ini mengajak pembaca untuk berfikiran lebih terbuka kerana huraian terhadap satu-satu subjek dan nas tidak terikat kepada seorang dua ulama, malah membabitkan banyak pihak.

Dengan kepelbagaian lontaran pendapat terhadap sesuatu isu seperti digarap penulis melalui karyanya ini, dari satu sudut ia dapat mengelakkan sifat merugikan seperti ketaksuban di kalangan masyarakat.
Share this article :

+ comments + 3 comments

July 5, 2009 at 4:42 PM

Assalamuwalaikum Datu...

Best tulisan ini...saya suka..teruskan..

July 6, 2009 at 1:11 AM

Salam kembali depu-depu

terimah kasih kerana kunjungan anda..

July 15, 2009 at 5:24 PM

suatu yg bermanfaat...teruskan tulisan sebegini..

Post a Comment
 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. DATU PITUNG . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger