Hati-hati. Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada umat Islam di negara ini yang mahu menyertai tarian poco-poco supaya tidak lari daripada landasan agama walaupun muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan kelmarin memutuskan ia masih boleh terus diamalkan.
Beliau berkata, umat Islam perlu menjaga kesucian agama bukan saja dalam isu tarian poco-poco, tetapi kegiatan masyarakat lain supaya tidak bertentangan dengan Islam hingga boleh menjejaskan akidah.
Katanya, apa saja termasuk tarian poco-poco boleh jadi haram jika dicampur dengan elemen lain yang bertentangan dengan Islam atau jika tujuan ia dilakukan adalah salah dan boleh merosakkan akidah.