News Update :
Home » » MUSLI OLI : BAGAIMANA SABAH HILANG HAK ROYALTI?

MUSLI OLI : BAGAIMANA SABAH HILANG HAK ROYALTI?

Penulis : Datu pitung on Oct 1, 2014 | 2:02 AM

Selepas  Akta Pembangunan Petroleum 1974 diluluskan di dewan rakyat, kerajaan negeri Sabah telah kehilangan hasil daripada petroleum setelah Kerajaan Persekutuan memindahkan hak milik dari negeri kepada Petronas. Kerajaan negeri telah diperuntukan bayaran tunai (wang ehsan bukan royalti) sebanyak 5% daripada sumber petroleum ini. Perjanjian kerajaan negeri dengan Petronas pada 14. 6. 1976 itu merupakan penyerahan hak royalti  negeri  Sabah kepada Petronas.
Minyak dan gas asli termasuk dalam senarai Negeri dalam perlembagaan Persekutuan dimana Kerajaan persekutuan dan Parlimen tiada kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 161(E) memperuntukkan tiada  pindaan perlembagaan Persekutuan boleh dilakukan tanpa persetujuan kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak jika pindaan itu menyentuh kepentingan kedua negeri.
Dalam hubungan ini pemimpin Sabah terutama Datuk Dr Jeffrey Kitingan menganggap PDA 1974 sebagai unconstitutional and illegal legislation kerana parlimen tidak boleh meluluskannya. Dalam satu forum bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh menegaskan dia diugut atau “forced”  menandatangani perjanjian dengan Petronas. Menurut Harris, dia diberi kata dua, tandantangan atau tidak, kerajaan Negeri tidak mendapat sebarang bayaran.  Kerajaan Persekutuan kata Harris, akan teruskan cadangan untuk mengistiharkan kawasan pesisiran pantai dan perairan negeri Sabah termasuk dalam sempadan kerajaan Persekutuan dan ia dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Darurat.
Oleh itu minyak dan gas yang ditemui dan diteroka di kawasan itu adalah hak milik kerajaan Persekutuan. Oleh itu menurut Harris, lebih baik dia bersetuju menerima 5%  daripada negeri tidak menerima apa-apa daripada hasil minyak. Ketua menteri sebelum Harris, Tun Mustapha, Tun Stephens termasuk Tun Said Keruak enggan bersetuju bayaran sebanyak 5%.
 Tragisnya, Harris menandatangi perjanjian dengan Petronas, seminggu selepas nahas pesawat yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan sebahagian anggota kabinet Sabah termasuk menteri kewangan, Datuk Salleh Sulong. Dalam suasana genting dan ketidakpastian tentang keselamatan dirinya, sudah tentu Harris Salleh tiada pilihan sebaliknya menurut kehendak Kerajaan Pusat pada ketika itu dan dia memilih jalan yang selamat.
Tun Stephens tidak pernah bersetuju dengan kadar 5%. Dalam upacara menandatangani perjanjian dengan Petronas di Pulau Labuan, Ketua Menteri Sabah itu mohon ditangguhkan keesokan harinya untuk ditandatangai di Kota Kinabalu State Dinner yang diberikan kepada pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Sebenarnya menurut sumber yang rapat dengan Tun Stephens, penangguhan itu adalah satu helah kerana dia  mahu  membawa perkara itu dalam DUN Sabah untuk mendapatkan persetujuan. Dalam perjalanan balik dari Pulau Labuan, pesawat jet milik kerajaan kerajaan negeri terhempas di kampong Sembulan pada 6.6.1976.
 Sebelum itu, Tun Mustapha bin Datu Harun berkeras tidak bersetuju bayaran 5% dalam perundingan dengan Tun Razak. Atas sebab itu, KL menganggap Tun Mustapha  “pengkhianat” dan dituduh membawa Sabah keluar dari Persekutuan dan dikatakan akan mengistiharkan dirinya sebagai Sultan Sabah. Beberapa tahun kemudiannya, barulah diketahui rakyat Sabah, semua tuduhan keatas Tun Mustapha adalah rekaan semata-mata untuk menjatuhkan beliau kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan Pusat dan Petronas yang  memberi 5%.
Dalam majalah Asiaweek, Tun berkata, “In 1974 when oil prices began to move up I went to Razak (Tun Abdul Razak) and said before we talk about other things let us talk about oil. Offshore oil we share 50-50 with federal. On shore we get 60%, Federal takes 40%. Razak said no. So I negotiated. After talks which went for months, Razak agreed on 80-20 for both onshore and offshore, 20% for us and 80% for them. But before it could be finalised they toppled USNO and one of the first things they did was to get Berjaya to agree on a deal that gave them 95% of all oil royalties”
 Satu lagi fakta sejarah yang tidak diketahui ramai ialah peranan Tun Mohd Said Keruak. Tunku Abdul Rahman adalah pemimpin yang dihormati Tun Mustapha. Tunku cuba selamatkan kerajaan USNO dengan memujuk Tun Mustapha meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah. Tun Mustapha setuju dengan syarat Kuala Lumpur menarik sokongan mereka kepada parti BERJAYA. Tunku merundingkan perkara itu dengan Tun Razak. Persetujuan dicapai dan Tun Mustapha memberi laluan kepada Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden USNO, Tun Mohd Said Keruak mengambil alih jawatan Ketua Menteri.
Tun Razak  mengadakan pertemuan dengan ketua menteri Sabah yang baru, Tun Said Keruak di Kuala Lumpur yang diatur Tunku dan beberapa pemimpin Umno yang bersimpati dengan USNO. Pertemuan itu singkat sahaja kerana Tun Said juga berpendirian sama dengan Tun Mustapha tidak bersetuju menandatangani perjanjian dengan Petronas jika kadar 5%. Hasil pertemuan itu Tun Razak mengarahkan bendahari UMNO untuk memberi dana kepada parti  BERJAYA.
Ini bermakna tiga orang ketua menteri Sabah tidak bersetuju dengan syarat-syarat perjanjian kerajaan Negeri dengan Petronas. Dalam masa yang sama pembayaran 5% yang dipanggil royalty kepada kerajaan negeri bukan sesuatu yang berkekalan kerana kerajaan Pusat pernah menarik balik pembayaran royalty kepada Kerajaan Terengganu selepas berlakunya perubahan pemerintahan di negeri itu selepas PRU 1999. Manakala di Kelantan, kerajaan negeri tidak dapat bayaran 5% atas alas an sama yang pernah diberikan kepada Harris Salleh bahawa kawasan pesisiran pantai adalah termasuk dalam sempadan kerajaan persekutuan.

SUMBER : http://www.suarasabah.com/bagaimana-sabah-hilang-hak-royalti/
Share this article :
 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. DATU PITUNG . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger