News Update :
Home » » JAIS WAJAR RAIKAN ARTIS YANG BERHIJRAH

JAIS WAJAR RAIKAN ARTIS YANG BERHIJRAH

Penulis : Datu pitung on Nov 2, 2011 | 10:31 PM

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan dan menyambut baik ‘penghijrahan’ beberapa orang artis yang kini berkecimpung di dalam bidang dakwah seperti Akhil Hayy, Wardina, Sham Kamikaze, Radhi Melissa, Azmil Mustapha, Iwan Dangdut dan ramai lagi selain Bob Lokman.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, kehadiran artis-artis itu telah mencetuskan revolusi dakwah baru yang telah menarik minat anak-anak muda remaja untuk kembali memahami dan mengamalkan ajaran agama Islam secara menyeluruh.

“Sehingga kini sambutan masyarakat terhadap program-program yang membabitkan para artis-artis yang telah ‘berhijrah’ ini mendapat sambutan yang cukup hebat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, selain peminat-peminat ‘tegar’ artis-artis terbabit, rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah dapat menerima penglibatan artis-artis ini di dalam bidang dakwah dan berkongsi pengalaman mereka menerima ‘hidayah’ petunjuk daripada Allah SWT.

“Janganlah disebabkan perkara yang terlalu remeh menyebabkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hilang pertimbangan sehingga mengambil tindakan yang tidak wajar di dalam menghentikan revolusi dakwah baru itu,” katanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, katanya mencadangkan pihak Jais sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih mesra terhadap para artis yang telah ‘berhijrah’ ini dan menjadikan mereka sebagai ‘ikon’ dakwah Jais kepada masyarakat.

Beliau berkata, Jais perlu menyediakan kursus-kursus dan garis panduan dakwah kepada para artis selain mengatur seliakan program-program dakwah yang perlu diisi oleh para artis tersebut untuk menarik minat masyarakat kembali kepada pengamalan agama Islam yang sebenar.

"Akhirnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kebimbangan dengan tindakan ‘menghukum’ yang akan diambil oleh pihak Jais ke atas Bob Lokman dan rakan-rakan artis seangkatannya akan ‘menghanyutkan’ semula anak muda yang kini dilihat semakin jinak dengan agama selain akan meninggalkan persepsi negatif masyarakat yang melihat Jais sebagai agensi yang tidak mesra dakwah dan anti artis hijrah," ujarnya lagi.



sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6334-jais-wajar-raikan-artis-yang-telah-berhijrah

Share this article :
 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. DATU PITUNG . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger