News Update :
Home » » LAPORAN AUDIT : PENGURUSAN KEWANGAN 2013 LEBIH BAIK

LAPORAN AUDIT : PENGURUSAN KEWANGAN 2013 LEBIH BAIK

Penulis : Datu pitung on Nov 9, 2014 | 8:11 PM


KUALA LUMPUR - Prestasi pengurusan kewangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi tahun 2013 adalah lebih baik berbanding dua tahun sebelumnya dengan peningkatan jumlah yang mendapat penarafan sangat baik (4 bintang).
  
Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang berkata sebanyak 194 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan itu (4 bintang) berbanding 143 pada tahun 2012 dan 111 pada 2011.
  
"Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (IA) memberi dorongan kepada pegawai untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2013 serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun dan Kerajaan-kerajaan Negeri Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
  
Amrin berkata bagi Siri 3 sebanyak 62 pengauditan prestasi dan 22 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan syarikat," katanya.
  
Amrin berkata dalam laporan Siri 3 itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 112 syor kepada kerajaan persekutuan, 22 (badan berkanun persekutuan) dan 136 (kerajaan negeri) bagi memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.
  
Beliau berkata untuk tahun ini setakat 10 Nov, pihaknya melakukan pengauditan terhadap 462 penyata kewangan kerajaan serta agensi kerajaan bagi tahun 2013 dan daripada jumlah itu 416 penyata kewangan diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.
  
Sementara itu 12 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berdasarkan 'Emphasis of Matter'; 20 diberi Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipenuhi sepenuhnya; 11 masih dalam proses pengauditan; manakala tiga lagi penyata kewangan belum dikemukakan.
  
Kandungan dan sinopsis laporan Siri 3 boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.
  
Selain itu sesi 'townhall' bersama media mengenai laporan itu diadakan pada Rabu (12 November) di Angkasapuri di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.
  
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2014, manakala Siri 2 pada 16 Jun lalu. - Bernama
Share this article :
 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. DATU PITUNG . All Rights Reserved.
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger